Thursday 13 October 2011

Program Jawakhir 2011 (BM 2 SPM )Puisi Tradisional Pantun Empat Kerat

PANTUN EMPAT KERAT

Baca pantun di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


PANTUN EMPAT KERAT(BUDI)

Terang bulan terang di paya,
Anak kambing memakan rumput;
Jika tak kenang kepada saya,
Nama yang baik tidak tersebut.

Anak merak mati tersangkut,
Mati dipanah Sri Rama;
Resam di dunia juga disebut,
Orang yang mati meninggalkan nama.

Anak itik terenang-renang,
Air pasang tenang-tenangan;
Budi sedikit bila kan hilang,
Itu menjadi kenang-kenangan.

Anak ikan berlima-lima,
Mati ditimpa punggur berdaun;
Kasih tuan saya terima,
Sebagai hutang seribu tahun.


Anwar Ridhwan (Penyelenggara)
Hati Mesra Pantun Melayu Sebelum 1914, 2004
Antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Set 1

1. Berikan maksud nama yang baik tidak tersebut.
[2 markah]

2. Pada pendapat anda, apakah kebaikan berbudi akan sentiasa disanjung tinggi?
[3 markah]

3. Huraikan dua pengajaran yang terdapat dalam pantun ini.
[4 markah]





Set 2

1. Berikan maksud rangkap dua pantun di atas.
[2 markah]

2. Pada pendapat anda, apakah bentuk sumbangan yang dapat kita hulurkan kepada masyarakat? [3 markah]

3. Huraikan dua persoalan yang terdapat dalam pantun ini.
[4 markah]



Set 3

1. Nyatakan dua kelebihan orang yang berbudi dalam pantun di atas.
[2 markah]

2. Pada pendapat anda, mengapakah masyarakat sekarang tidak mementingkan amalan berbudi?
[3 markah]

3. Huraikan dua nilai murni yang terdapat dalam pantun ini.
[4 markah]





Skema Set 1:

1. Maksud:
Seseorang yang melakukan kebaikan/kebajikan tidak akan dilupakan/akan dikenang/disebut-sebut/diingati

2. Pendapat:
-Dipandang mulia dalam budaya masyarakat Malaysia
-Dapat membantu menyelesaikan pelbagai masalah
-Mendapat pahala
-Mengeratkan hubungan sesama manusia
-Disukai orang lain

3. Pengajaran:
Kita hendaklah sentiasa berbuat baik kepada orang lain
Kita perlulah bersikap ikhlas dalam menghulurkan bantuan
Kita wajarlah menjauhi sifat suka mementingkan diri sendiri
Kita hendaklah menghormati orang yang suka berbudi dalam masyarakat
Kita hendaklah mengenang budi dan berazam untuk membalas budi baik
seseorang



Skema Set 2:

1. Maksud:
Sudah menjadi adat manusia/resam/lumrah dunia, orang yang baik akan dikenang walaupun sudah meninggal dunia
Orang yang berjasa/berbudi akan meninggalkan nama yang baik selepas meninggal dunia

2. Pendapat:
-Tidak mengganggu ketenteraman orang lain/masyarakat sekitar
-Sentisa memberikan kerjasama dalam kerja-kerja amal di kawasan tempat
tinggal
-Menghulurkan bantuan sama ada tenaga atau material kepada mangsa-
mangsa musibah/bencana alam
-Mencurahkan ilmu kepada masyarakat sekitar
-Menderma
-Menyumbangkan tenaga/menjadi jurulatih dalam kegiatan sukan

3. Persoalan:
-Budi sangat berharga dalam masyarakat
-Orang yang berbudi akan sentiasa dikenang walaupun sudah meninggal dunia
-Budi seseorang tidak akan dilupakan begitu sahaja

.

Skema Set 3:

1. Dua kelebihan:
-Namanya disebut-sebut/dikenang
-Meninggalkan nama yang baik setelah meninggal dunia
-Namanya disanjung walaupun budinya sedikit
-Orang yang makan budi akan terasa seperti berhutang sepanjang hidup

2. Pendapat:
-Mereka mampu menyediakan semua keperluan untuk diri dan keluarga
-Mereka mendapatkan pertolongan daaripada sesuatu pihak dengan cara
membayar upah
-Mereka lebih memikirkankan status/taraf untuk memohon pertolongan/budi
daripada orang lain
-Mereka lebih bersikap keakuan/mementingkan diri sendiri

3. Nilai-nilai murni:
-Baik hati : sudi menghulurkan pertolongan terutama kepada orang yang
memerlukannya.
-Keikhlasan: membantu/memberi pertolongan tanpa memikirkan balasan.
-Mengenang budi : sentiasa mengingati budi yang ditaburkan dan cuba
membalasnya.




PANTUN EMPAT KERAT ( JENAKA DAN SINDIRAN)

Baca puisi di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


PANTUN JENAKA DAN SINDIRAN

Apa guna berkain batik,
Kalau tidak memakai capal;
Apalah guna beristeri cantik,
Kalau tak pandai menumbuk sambal.

Dari Kelang lalu ke Jawa,
Naik sigai ke atas atap;
Ikan kering lagi ketawa,
Mendengar tupai membaca kitab.

Ambil segulung rotan saga,
Suruh diambil mari diurut;
Duduk termenung harimau tua,
Melihat kambing mencabut janggut.

Kupu-kupu terbang melintang,
Hinggap menghisap bunga layu;
Hati di dalam menaruh bimbang,
Melihat ikan memanjat kayu.

Lebat sungguh padi di paya,
Kayu tumbang tepi pangkalan;
Hairan sekali hati saya,
Burung terbang disambar ikan.

Harun Mat Piah(Penyelenggara)
Puisi Melayu Tradisional: Nasihat dan Pengajaran, 2004
(Antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)



Set 1:

1. Nyatakan dua perkara ganjil yang terdapat dalam pantun ini.
[2 markah]

2. Pada pendapat anda, apakah kesan jika seseorang itu memilih isteri berdasarkan kecantikan semata-mata?
[3 markah]

3. Jelaskan dua persoalan yang terdapat dalam pantun ini?
[4 markah]



Set 2:

1. Berikan maksud rangkap pertama pantun di atas
[2 markah]

2. Huraikan dua nilai murni yang terdapat dalam pantun ini?
[4 markah]

3. Jelaskan dua pengajaran yang terdapat dalam pantun ini?
[4 markah]





Skema Set 1:
1. Dua perkara ganjil:
-ikan kering lagi ketawa
-tupai membaca kitab
-duduk termenung harimau tua
-kambing mencabut janggut
-ikan memanjat kayu
-burung terbang disambar ikan.

2. Pendapat:
-kebahagiaan rumahtangga tidak kekal lama
-urusan rumahtangga akan terabai
-asuhan anak-anak tidak sempurna
-suami diabaikan kerana asyik menjaga kecantikan sahaja


3. Persoalan:
-Tanggungjawab isteri yang utama adalah menguruskan rumah tangga seperti memasak

-Sikap sesetengah orang yang tidak berilmu/tidak mahir dalam sesuatu bidang tetapi ingin
menunjukkan kepandaiannyanakan diketawakan orang
-Sesuatu pihak/pemimipin yang sebelum ini berkuasa tetapi telah hilang kuasa menyebabkan
rakyat/orang bawahan akan berasa bebas/lega.
- Keupayaan orang yang lazimnya dianggap lemah tetapi mampu melakukan sesuatu yang mengagumkan.



Skema Set 2:
1. Maksud: seseorang yang berwajah rupawan/jelita sahaja tidak memadai jika tidak pandai memasak

3. Pengajaran:
-Kaum wanita hendaklah menguasai pelbagai ilmu dalam menguruskan rumahtangga

-Kita hendaklah mempunyai ilmu dan kemahiran dalam sesuatu bidang jika ingin menunjukkan
kepandaian agar tidak mendapat malu/dipandang rendah
-Kita hendaklah menjauhi sikap suka memandang rendah terhadap orang yang lemah kerana
mungkin suatu hari mereka akan mengatasi kita
-Kita hendaklah menghormati pihak lain walaupun mereka golongan rendah/ gol bawahan


3. Dua nilai:
-Kebijaksanaan-isteri yang bijaksana dalam menguruskan rumahtangga
-Merendah diri- merujuk kepada mereka yang lebih arif dan tidak menunjuk-nunjuk
sesuatu perkara yang bukan dalam kepakaran/kemahiran kita
-Keyakinan diri-sentiasa berusaha meningkatkan kebolehan diri supaya kita
tidak dipandang rendah oleh orang lain.

No comments:

Post a Comment