Sunday 9 October 2011

Program Jawakhir 2011 (BM 2 SPM) Drama 1400

SET 1
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Mak Timah yang sedang sakit, terpaksa membersihkannya. Dengan termengah-mengah, Mak Timah menguruskan juga tugasnya menjaga dia yang tidak dapat bertindak apa-apa. Jika tidak dibersihkan akan sehari suntuklah dia dalam kekotoran. Sehari suntuklah dia akan berendam dengan air kencing, bergelumang dengan najisnya sendiri. Kadang-kadang Mak Timah hairan memikirkan nasib dia. Mak Timah memberi nama gelarannya Pungut. Nama sebenarnya ialah Zahara, manakala nama asalnya ialah Yap Siew Hong. Mak Timah hairan memikirkan keadaan bentuk fizikal Pungut. Sangat kecil, sangat halus. Menurut doktor, semasa Pungut masih bayi dahulu, Pungut hanya boleh hidup dalam jangka masa satu atau dua tahun. Pungut tidak boleh hidup lama, kata doktor, kerana seluruh organ dalam tubuhnya amat halus dan kecil. Jantungnya kecil, tetapi kuasa Tuhan, doktor bukan Tuhan, ramalan doktor salah. Kini Pungut telah berusia dua puluh empat tahun. Tuhan berkuasa atas segala-galanya. Pungut tidak mati-mati. Mak Timah hairan, orang yang sihat, orang kaya, semuanya mati. Tetapi Pungut tidak juga mati-mati.
“Mungkin Tuhan nak uji kesabaran aku, menjaga dia,” fikir Mak Timah.
“Mungkin Tuhan nak banyakkan dosa aku,” fikir Mak Timah lagi.
Pungut telah dimandikan. Kini tiba masa untuk memberinya makan. Semasa menyuapkan Pungut, Mak Timah terbayangkan kisah yang berlaku dua puluh empat tahun yang lalu.

(Dipetik daripada
Cerpen ‘Pungut Alias Zahara Alias Yap Siew Hong’
Oleh Mohamed Latiff Mohamed
Antologi Dirgahayu Bahasaku,
Dewan Bahasa dan Pustaka)


i. Berikan maksud sehari suntuklah dia dalam kekotoran.
[2 markah]

ii. Gambarkan keadaan diri Pungut semasa kecil.
[3 markah]

iii. Huraikan dua nilai kemanusiaan yang terdapat dalam petikan dan dua nilai kemanusiaan yang terdapat dalam cerpen.
[4 markah]

Jawapan

i. Maksud sehari suntuklah dia dalam kekotoran ialah sepanjang hari Pungut tidak dibersihkan daripada najisnya sendiri.


ii. Keadaan Pungut semasa kecil ialah
bentuk fizikal Pungut sangat kecil, sangat halus.
seluruh organ dalam tubuhnya amat halus dan kecil.
Jantungnya kecil
Perutnya kecil

iii. Dua nilai kemanusiaan daripada petikan ialah nilai nilai kasih sayang.
Contohnya Mak Timah yang sedang sakit, terpaksa membersihkan Pungut. Dengan termengah-mengah, Mak Timah menguruskan juga tugasnya menjaga dia yang tidak dapat bertindak apa-apa.

Nilai lain ialah nilai bertanggungjawab.
Contohnya walaupun Mak Timah sakit tetapi dia tetap menjaga Pungut.

Dua nilai daripada cerpen ialah simpati.
Contohnya Bibik simpati terhadap Pungut dan menyerahkan Pungut kepada Mak Timah.

Nilai lain ialah nilai kerajinan.
Contohnya Mak Timah setiap hari membersihkan dan memandikan Pungut.


SET 2
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Bibik sebelah rumah, jiran Mak Timah tergesa-gesa datang ke rumahnya. Dari wajah Bibik jelas kelihatan rasa cemas dan penuh kesedihan. Mak Timah dan anak-anak sedang enak menggoreng pisang.
“Mengapa Bik?” Mak Timah bertanya.
“Siew Lan,” jawabnya lambat.
“Mengapa Siew Lan?” Tanya Mak Timah lagi, sementara mulut anaknya Katijah dan Munah melopong melihat Bibik.
“Siew Lan sudah beranak,” jawab Bibik.
“Huh, baguslah! Anak apa, jantan ke betina?” Tanya Mak Timah lagi.
“Mana ada jantan, betina. Ini bukan kucing,” jawab Bibik sedikit sinis.
“Perempuan, kita orang tak begitu suka anak perempuan, lagi-lagi yang ini,” kata-kata Bibik terhenti.
“Mengapa yang ini? Kenapa?” Mak Timah ingin tahu.
“Kecil, dua paun setengah, macam buah betik. Doktor tahan dekat hospital, tak kasi balik,” Bibik memberi keterangan lanjut.
“Dulu, belum dia beranak, kita pergi tengok datok. Kata datok ini anak tak guna, bawa sial. Sekarang Siew Lan susah hati,” Bibik memberi keterangan lanjut.
“Mana datok Bibik pergi tengok?” Mak Timah bertanya ingin tahu.
“Itu kita punya loktanglah. Kita punya bangsa itu macam, anak belum beranak kita pergi tanya datok, tengok dia punya nasib, ada baik atau sueh,” Bibik memberi keterangan lanjut. Mak Timah hairan melihatkan cara kehidupan Bibik, bernujum dan berdatok.

(Dipetik daripada
Cerpen ‘Pungut Alias Zahara Alias Yap Siew Hong’
Oleh Mohamed Latiff Mohamed
Antologi Dirgahayu Bahasaku,
Dewan Bahasa dan Pustaka)

i. Apakah berita yang disampaikan oleh Bibik kepada Mak Timah?
[ 2 markah]

ii. Pada pendapat anda, apakah keistimewaan-keistimewaan yang boleh disediakan kepada golongan orang kurang upaya. [3 markah]

iii. Nyatakan dua pengajaran daripada petikan dan dua lagi pengajaran daripada cerpen. [4 markah]


Jawapan:

i. Berita yang disampaikan;

Siew Lan sudah bersalin
Anaknya perempuan
Anaknya ditahan di hospital
Anaknya kecil
Siew Lan susah hati.

ii. Keistimewaan kepada OKU;

Menyediakan laluan khas
Menyediakan tempat duduk khas di dalam kenderaan awam
Kemudahan tempat letak kereta khas
Kemudahan tandas OKU
Pekerjaan yang sesuai.
Potongan harga untuk semua urusan perkhidmatan

iii. Pengajaran daripada petikan;

Kita janganlah mempercayai perkara yang karut/tahyul
Kita hendaklah mengasihi anak sendiri.

Pengajaran daripada cerpen;
Kita hendaklah simpati terhadap orang kurang upaya.
Kita hendaklah saling membantu sesama jiran.


SET 3

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
“Hantarkan ke rumah kanak-kanak cacat. Buat susah-susah mak pelihara si Pungut tu, apa dapat? Kalau anak orang lain, dah besar dah boleh kerja, dah boleh bantu bayar duit air, duit api.” Pilu hati Mak Timah mendengar pendapat anak lelakinya tentang Pungut. Mak Timah hairan dengan sikap orang sekarang. Semuanya mengira duit, semuanya mahu untung, tidak mahu rugi. Pelihara anak mahu balasan. Orang sekarang, fikir Mak Timah, tidak seperti orang dahulu, memelihara anak ikhlas, menolong orang ikhlas, kerana Allah. Entahlah apa hendak jadi dengan orang sekarang ini? Setiap kali anak lelakinya mengeluarkan cadangan untuk menghantar Pungut ke rumah kanak-kanak cacat, Mak Timah akan menjawab, “Bila aku dah mati, hantarlah dia ke mana kau suka, apabila aku dah tak ada nanti. Selagi aku hidup ini, biarlah aku pelihara, selagi aku terlarat. Dah dua empat tahun pun aku pelihara dia, kalau kucing pun orang sayang, inikan pulak manusia. Aku hanya minta pada Tuhan biarlah Pungut mati dulu sebelum aku mati, biar dia tak susahkan kau orang lagi.” Itulah jawapan Mak Timah apabila terjadi pertengkaran dengan anak lelakinya. Anak lelakinya akan diam, tidak memberi sebarang cadangan apabila Mak Timah menyebut tentang mati.


(Dipetik daripada
Cerpen ‘Pungut Alias Zahara Alias Yap Siew Hong’
Oleh Mohamed Latiff Mohamed
Antologi Dirgahayu Bahasaku,
Dewan Bahasa dan Pustaka)


i. Jelaskan maksud selagi aku terlarat.
[2 markah]

ii. Jika anda mempunyai adik-beradik yang cacat, apakah yang wajar anda lakukan.
[3 markah]

iii. Huraikan satu sikap Mak Timah daripada petikan dan satu sikap Mak Timah darpada cerpen. [4 markah]

Jawapan.
i. Maksud selagi aku terlarat ialah
Semasa Mak Timah masih mampu/terdaya/bertenaga

ii. Jika mempunyai keluarga yang cacat;
Mengajarnya menguruskan diri/berdikari
Melayannya sama seperti keluarga yang lain
Bersabar dengan kerenahnya
Mencadangkan kepada ibu bapa untuk dihantar belajar di sekolah khas untuk OKU.

iii. Sikap Mak Timah daripada petikan;
Penyayang – menyayangi Pungut dan tidak membenarkan Pungut dihantar ke rumah kanak-kanak cacat.
Seorang yang ikhlas – memelihara Pungut walaupun cacat.
Sikap Mak Timah daripada cerpen;
Mudah simpati – simpati terhadap nasib Pungut yang didisihkan oleh ibu kandungnya.
Bertanggungjawab- bertanggung jawab memelihara Pungut yang tiada sesiapa inginkannya.

No comments:

Post a Comment